jom hebohkan

Tindakan selemah-lemah iman....

Tindakan selemah-lemah iman....

Thursday, 15 October 2009

Guru Bisu

Pengalaman adalah guru bisu,
yang mengajar suka dan kesukaan; duka dan kedukaan.

Pengalaman adalah guru bisu,
yang mengajar sabar dan kesabaran; perit dan keperitan.

Pengalaman adalah guru bisu,
yang mengajar manusia dan kemanusiaan; hidup dan kehidupan.

Buku juga adalah guru bisu,
yang mengajar ilmu dan keilmuan,
yang mengajar tahu dan pengetahuan,
yang mengajar sastera dan kesusasteraan,

Hakikatnya pengalaman dan buku adalah guru bisu;
yang mengajar perkara tersembunyi.
Bersedialah kita untuk belajar dari buku dan pengalaman
kerana ia membantu kita celik menempuh zaman.

15/10/2009 @ 26 Syawal 1430
Lebuhraya Utara-Selatan (17:00)

Sunday, 11 October 2009

Sastera Sejarah

Pertamanya aku ingin memohon maaf kepada pengunjung setia blog ini. Hendak dikira dengan masa, memang sudah lama aku tidak menghantar artikel baru. Bukan malas alasannya, cuma sedikit sibuk dengan aktiviti di sana sini.

Saat ini aku sedang menatap novel trilogi Natasya, Julia dan Cinta Madinah. Tiga novel terbaik karangan Abu Hassan Morad yang dikompilasikan dalam satu edisi khas sempena 70 tahun Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Boleh aku katakan novel ini sudah 'berumur'. Bukan keluaran baru namun ketika ia diterbitkan, minat membaca novel belum berakar dalam diri. Baru kini aku cuba membuka sedikit ruang untuk memberi peluang kepada novel-novel terpilih untuk dijadikan teman ketika ada ruang. Tetapi aku tidak mahu mengulas mengenainya pada kali ini. Halaman pertama pun belum terusik.

Cumanya untuk kiriman kali ini, aku ingin berkongsi sebuah karya yang aku kira juga 'berumur' tetapi diterbitkan kembali dalam bentuk yang lebih kontemporari.

Surat-Surat Perempuan Johor karangan Faisal Tehrani menjadi koleksi terbaru dalam ruang bacaan. Bagiku ia bukanlah sebuah karya biasa tetapi karya sejarah yang berjaya disampaikan dalam bentuk novel. Dan ia juga bukanlah sebuah novel biasa kerana dikisahkan melalui surat-surat tidak rasmi. Satu pendekatan unik yang selayaknya menjadi antara karya sastera terhebat Faisal Tehrani.


-----------------------------------------------------------------------------------------------

Perempuan itu seperti dalam pengetahuan kita, terkandung dalam enam huruf pengertiannya.
(lihat Raja Hamzah Yunus, "Perempuan Melayu: menurut takrif naskah melayu riau johor" dalam Jurnal Warisan Johor, Jilid II, Yayasan Warisan Johor, Johor Bharu, 1998)

Huruf FA itu berkaitan fasih. Lidah kita orang perempuan ini harus fasih memuji Allah dan Rasul-Nya, memuji kebaikan suami dan orang yang berbudi kepadanya.

Sedang RA itu mengenai ramah untuk bertemu jalan Allah, ramah mendapat petunjuk Rasulullah SAW serta ramah mendapat kasih suami.

Kitab itu juga mengajarkan kita huruf MIM pada perempuan itu adalah sifatnya yang malu kepada Allah dan kepada Rasul, sayugia setelah ada segan dan silu tentu juga pandai kita memelihara malu suami dan malu lain di tempat yang patut kita menaruh malu.

Perempuan itu mengamdungi dua FA, dan akan huruf FA yang kedua membawa erti percaya. Perempuan harus penuh kepercayaan, tidak mengkhianat, tidak kenal ingkar, tidak bercakap dusta-dusta dan ditegah membuka jalan yang haram.

Sedang WAU pula seperti syarah bonda Ampuan, ada perempuan itu wangi kerana haruman bidadari syurga itu kita yang warisi. Kerana wangi menyejukkan hati, mendamaikan suami dan terbendunglah kita dari menyebar pengkhabaran busuk dan umpat-umpatan berbau bangkai.

Sedang huruf akhir, NUN, membawa erti besar iaitu andalan. Seperti permata berharga, perempuan itu memelihara dan menegnal ia baik jahat, dosa da pahala hingga dapat menjadi andalan dirinya. Yang namanya perempaun itu ialah insan yang terpercayakan.


Surat-Surat Perempuan Johor mukasurat 19-20
-------------------------------------------------------------------------------------------------

Penggunaan gaya bahasa Melayu lama amat memukau. Mungkin ada yang akan berkata ianya tidak lagi sesuai digunakan pada zaman ini namun aku amat menyenanginya. Selain itu penggunaan pantun dalam menyampaikan sesuatu perkara turut menjadi daya penarik novel ini.

Mahu berguru di Puncak Opir,
Diajar puteri bunganya silat,

Perluas ilmu tajam berfikir,
Barulah Islam dapat didaulat.

Pendeta datang dari Pontian,
Mencurah ilmu membuka madrsah,
Jika yng alim menunjuk jalan,
Senang sang amir memacu arah.

Memilih nilam antara delima,
Ditempa molek jadikan pualam,
Baik-baik memilih nakhoda,
Salah gerangan habislah karam.

Di sebalik penggunaan laras bahasa Melayu lama yang memukau dan seni pantun dalam budaya masyarakat Melayu, fokus utama yang lebih menarik ialah tentang isu yang cuba disampaikan lewat surat dan warkah yang dipaparkan.

Pengarang cuba membawa kisah bagaimana pengaruh era kepimpinan Turki Uthmaniah cuba diadaptasi oleh Sultan Abu Bakar di Johor. Penggunaan undang-undang Islam dalam urus tadbir kehidupan rakyat diwartakan melalui Majalah Ahkam Johor seiras seperti Hukum Kanun Melaka yang memiliki ciri-ciri keIslaman di dalam penggubalannya.

Kembara Ungku Nur hingga ke Turki untuk menjejak sejarah warkah Tuk Hamidah yang dikahabarkan berkahwin dengan lelaki Turki suatu masa dahulu membuatkan rangkaian kisah semakin menarik. Hanya dengan membacanya sendiri barulah anda akan faham maksud yang cuba aku sampaikan.

Dalam kecelaruan sistem yang ada pada hari ini, novel ini semacam memberi suatu gambaran di mana sejarah telah membuktikan betapa pemerintah terdahulu komited dengan sistem pemerintahan Islam yang dirujuk kepada kerajaan Turki Uthmaniah. Mengapa kini kita berbangga dengan sistem bawaan penjajah yang telah terhakis kredibilitinya dalam menyusun atur kehidupan bermasyarakat. Bukanlah hukum itu hanya pada bab jenayahnya sahaja tetapi merangkumi seluruh sistem sosial yang menjadi teras kehidupan seharian manusia. Jika tidak menjadi kenyataan sekalipun untuk melihat tertegaknya kembali empayar khalifah, janganlah kita berhenti untuk berusaha kerana bukan hasil sahaja yang menjadi perhatian tetapi usaha juga turut menjadi perkiraan.

Tuesday, 29 September 2009

+ ve atau - ve?

Suasana raya masih hangat di mana-mana. Sudah menjadi budaya masyarakat Malaysia, raya disambut selagi mana syawal masih ada. Rumah terbuka masih rancak di sana-sini. Bagi aku ia merupakan suatu budaya yang sihat kerana rumah terbuka atau jemputan beraya ke rumah mampu untuk mengeratkan tali silaturrahim antara satu sama lain. Cumanya janganlah hingga berlaku pembaziran dalam mengendalikannya.

Hari ini aku ingin berkongsi sedikit pengalaman ketika mahu pulang setelah cuti beraya di Bangi. Oleh kerana tiket bas dari Seremban ke Batu Pahat telah habis, aku membuat keputusan untuk menaiki bas dari stesen Shah Alam untuk ke Batu Pahat. Untuk itu aku perlu menaiki komuter dari stesen UKM ke KL Sentral sebelum menukar komuter ke stesen Shah Alam. Alhamdulillah, pergerakan dengan komuter pada pagi itu lancar. Tiada sebarang masalah berlaku.

Setelah lebih 80 minit berada di dalam komuter aku akhirnya tiba di Shah Alam, terus mengambil teksi menuju ke stesen bas. Suasana di stesen bas sangat sesak. Penuh dengan lautan manusia menunggu ketibaan bas untuk menuju ke detinasi masing-masing. Bas aku dijadualkan bertolak pada jam 11 pagi. Ini bermakna aku perlu menunggu lagi setengah jam sebelum bas tiba.

Kawasan menunggu sangat sesak. Jadi aku mengambil keputusan untuk menunggu di lorong belakang atau lebih tepatnya di kawasan meletak kenderaan kerana di situ lebih lapang. Nak membaca keadaan langsung tidak selesa. Nak duduk pun tiada kerusi yang kosong. Apa yang boleh aku buat hanyalah berdiri sambil melihat gelagat manusia di sekeliling.

Aku kemudiannya dihampiri oleh seseorang.

"Bas pukul berapa", sapa lelaki tersebut.

Daripada pakaian dan perwatakannya, andaian pertama aku adalah beliau merupakan anggota polis. Bukannya susah nak kenal anggota polis. Kacamata hitam, seluar jeans, kasut kulit.

"Pukul 11 pagi", aku menjawab selamba.

"Ikut saya ke sana sekejap", arah lelaki tersebut sambil tangannya menunjuk ke arah satu kumpulan manusia yang duduk di bawah payung.

"Kenapa pula ni. Kesalahan apa yang aku dah buat", aku berbisik dan jantung mula berdebar. "Nak buat apa?", sempat aku lontarkan pertanyaan.

"Buat ujian air kencing", tegasnya.
"Saya dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan. Kami buat ujian air kencing secara rambang", beliau menyambung bicara. Mungkin untuk lebih meyakinkan aku yang nampak keliru.

"Oh. Lama tak? Bas saya lagi 15 minit bertolak." Aku sebenarnya malas nak melakukan ujian tersebut. Entah mengapa aku yang dia pilih. Agaknya muka macam aku ni ada muka penagih rasanya. Ketawa kecil sendiri dalam hati.

"Sekejap je. 5 minit dah boleh tahu keputusan"

"Boleh la...", aku akhirnya mengalah.

Setibanya aku di meja, seorang perempuan yang bertugas untuk merekodkan data meminta kad pengenalan. Kemudian satu botol bertutup kuning diberi dan lelaki tadi mengiringi aku ke tandas. Sepatutnya untuk masuk ke tandas setiap orang dikehendaki membayar 30 sen tetapi disebabkan ini adalah tugas rasmi AADK, aku masuk secara percuma. Seronok juga. Dapat buang air percuma, basuh tangan dan basuh muka percuma.

Setelah itu, tiga peralatan ujian berbentuk kertas panjang dikeluarkan dan dicelup ke dalam botol. Sambil menunggu keputusan aku mengambil peluang untuk bercerita dengan mereka yang bertugas. Menurut mereka, operasi ini telah dijalankan selama seminggu yang lepas. Anggota AADK ditempatkan di seluruh stesen bas bertujuan untuk mengenalpasti pemandu yang menggunakan dadah semasa memandu. Di Shah Alam sahaja sebanyak 8 orang pemandu telah ditahan kerana positif dadah.

Semasa sedang rancak berborak, seorang anggota lain mengiringi seorang remaja lelaki yang digari tangannya ke temapt kami. Dia disyaki mengambil dadah tetapi dibebaskan dengan jaminan.


Selepas lima minit keputusan ujian aku pun dibaca. "Anda POSITIF..."

Ya aku POSITIF bebas dari pengaruh dadah. Alhamdulillah.

Usaha ini adalah antara usaha yang patut dipuji. Sekurang-kurangnya pihak berwajib menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Aku pula berpendapat bahawa usaha ini adalah hanya sebagai langkah pencegahan sedangkan sepatutnya punca masalah in perlu dikenalpasti dan dihapuskan. Apa yang aku maksudkan ialah pusat berlakunya proses penjualan dadah harus dihapuskan. Di mana lagi kalau bukan disko-disko, lorong-lorong pelacuran dan tempat menjual minuman keras (bar). Tempat inilah yang menjadi markas memasarkan dadah seperti ganja dan pil kuda.

Kepada rakan-rakan di luar, jauhilah diri anda dari pengaruh dadah. Bukan sahaja dadah dalam bentuk zahir tetapi yang utama ialah dadah dalam bentuk pemikiran, perlakuan dan perbuatan yang boleh mengkhayalkan dan merosakkan sistem kehidupan. Hanya Islam menawarkan ubat kepada segala penyakit kehidupan manusia.

"HIDUP SIHAT TANPA DADAH"
----------------------------------------------------------------------------------------------
46 daripada 8,110 positif dadah - Sinar Harian (Selasa-29 sept 09)

KUALA LUMPUR - Seramai 46 daripada 8,110 pemandu bas ekspres yang menjalani ujian air kencing di 35 terminal bas utama di seluruh negara dalam Ops Bersepadu sempena Perayaan Aidilfitri didapati positif dadah.

Mereka yang berusia antara 19 dan 41 tahun didapati positif mengambil ganja, amphetamine dan ABS.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abd Bakir Zin semalam berkata, dalam operasi itu juga 116 pengguna jalan raya lain turut dikesan positif dadah.

“Matlamat utama ujian air kencing itu adalah bagi membantu kerajaan mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat pengaruh dadah,” katanya kepada pemberita di Hentian Bas Jalan Duta di sini.

Beliau gembira kerana dalam tempoh operasi bersepadu itu, tiada nahas jalan raya yang membabitkan bas ekspres.

Operasi Bersepadu sempena musim Perayaan Aidilfitri 2009 yang bermula sejak 16 Sept berakhir hari ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pihak pengurusan terminal bas. - Bernama

Sunday, 13 September 2009

Ubah-Berubah

Salam Ramadhan,
Pejam, celik, pejam, celik, Ramadhan sudah menghampiri penghujungnya. Lagu-lagu raya sudah mula dimainkan di pasaraya dan bilik-bilik kolej kediaman pelajar. Begitulah ghairahnya manusia ingin menyambut raya. Bukan sahaja manusia yang menyambut raya tetapi semua benda turut terken tempias hari raya. Baju raya, kasut raya, kad raya, kuih raya, duit raya...Pendek kata raya di mana-mana.

Tapi Ramadhan belum habis lagi. Masih ada ruang-ruang mengumpul pahala hasil daripada amal ibadah yang dilakukan. Jangan kita lupa untuk mencari satu malan yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar. Isilah malam-malam di minggu terakhir Ramadhan dengan ibadah sunat-qiamullail, zikir, wirid, dan bertilawah Al-Quran. Jika gagal berjumpa dengan 'tetamu' lailatul qadar sekalipun, yakinlah bahawa setiap amalan yang dilakukan dengan ikhlas tersebut ada perkiraan dalam buku catatan amal.


Esok (23 Ramadhan 1430), aku diminta oleh pihak Kelab Iqra untuk mengisi slot IkoN pada program Kuliah Pembangunan Integriti Islam (KP2i). Bertungkus lumus aku cuba menyiapkan slaid powerpoint bagi pembentangan esok. Tajuk yang diberikan ialah "Pemuda Agen Perubahan". Fuhh... macam gempak je tajuk yang diberikan. Moga pembentangan esok juga akan gempak. Aku berharap agar pembentangan esok akan berjaya mengubah persepsi mahasiswa/wi untuk menjadi agen perubahan atau dalam kata lainnya menjadi seorang pendakwah yang bertugas merubah suasana kampus agar menuju ke arah yang lebih baik.

Aku mengambil serius jemputan ini. Aku tidak mahu hanya hadir untuk melepaskan tanggungjawab dan memenuhi tentatif program semata, sebaliknya aku mengharapkan kesan besar daripada pembentangan tersebut. Terima kasih aku ucapkan kepada pihak urusetia yang memberi kepercayaan kepada mahasiswa 'tua' ini untuk berkongsi sedikit buah fikiran kepada mahasiswa 'muda' di kampus ini.

Jom ramai-ramai datang untuk beri semangat dan jangan lupa doakan semoga pembentangan esok berjaya.

Saturday, 29 August 2009

Dakwah Sang Mekanik

Salam Ramadahn.
Sedar atau tidak hari ini sudah lebih kurang seminggu Ramadhan menjadi tetamu kita. Pasti dalam seminggu yang lepas pelbagai kenangan telah mewarnai Ramadhan kita pada kali ini. Tidak kira apa jua yang kita lakukan, pastikan supaya ianya menjadi sebahagian daripada amal ibadah yang dikira perbuatannya sebagai amal soleh.

Pada kiriman kali ini aku ingin berkongsi sedikit mengenai peristiwa sebelah petang tadi. Mungkin aku boleh gambarnya ianya sebagai suatu usrah tidak formal antara aku dengan sahabat Sarawakku, Sahrul Khair. Perkongsian idea ini berlaku ketika kami bersama-sama membetulkan tayar basikal yang pancit.

Proses pertama : membuka tayar daripada posisinya

Begini mulanya....
Lebih kurang pukul 3 petang, aku mengajak Sahrul untuk membantu menukar tiub tayar basikal kami yang pancit. Kami di sini bermaksud tayar basikal aku pancit, begitu juga tayar basikal sahrul. Jadi kedua-dunyanya perlu ditukar dengan tiub yang baru.

Sebelum memulakan tugas menukar tiub, aku sempat bertanya kepada Sahrul. "Enta pandai tak tukar tiub tayar basikal?" Aku memang biasa membahaskan diri Sahrul sebagai 'enta'.
"Sik pernah. Tok lah kali pertama", jawab Sahrul.

Aku tidak kisah sama ada Sahrul pandai atau tidak dalam hal sebegini kerana sebenarnya kerja ini memang boleh aku lakukan secara bersendirian. Cuma tidak seronok kerana tiada teman untuk berbual. Skru dilonggarkan, tayar dicabut dari posisinya. Dengan menggunakan peralatan khas, tayar dikopak supaya tiub yang sudah bocor dapat dikeluarkan. Sahrul dengan tekun turut membantu. Kemahiran memperbaiki sendiri basikal telah aku pelajari sejak lama dahulu ketika aku tinggal di Sabah. Terima kasih kepada bapaku yang menurunkan kemahiran ini.

Ini proses mengopak tayar

Dalam sibuk melakukan kerja, sempat Sahrul berkata "Orang Elektrik tukar tiub basikal. Mana nak jadi". (orang elektrik di sini merujuk kepada diri Sahrul yang mengambil kursus kejuruteraan elektrik di UTHM). Aku pun menjawab spontan "Takkan mesti ambil kursus mekanikal baru boleh buat kerja ni. Itu satu pemikiran yang salah".

Terus aku teringat kepada kenyataan sahabat lamaku, Ustaz Azlan "Minda mahasiswa masa kini telah dicompartmentalizationkan @ dikotak-kotakkan. Orang agama hanya bekerja di masjid, jabatan agama. Jurutera di kilang-kilang, peguam di mahkamah. Ini suatu budaya yang tidak sihat".

Ya. Aku setuju dengan pendapat Ustaz Azlan. Mungkin Sahrul ada simptom compartmentalization tersebut. (tapi simpton pada tahap yang tidak merbahaya). Mungkin Sahrul berpendapat perlu 'menjadi' seseorang baru boleh melakukan kerja 'orang' tersebut.
------------------------------------------------------------------------------------------------

Setiap Muslim Adalah Dai'e

Gejala compartmentalization yang merebak di dalam minda masyarakat muslim adalah merbahaya. Gejala ini sudah sekian lama dipelopori di Eropah bila mana urusan agama dan urusan pengurusan keduniaan diasingkan. Lantas ideologi ini dikenali sebagai sekularisme.

"Aku bukan ambil bidang pengajian agama. Mengapa pula aku yang perlu menjadi pendakwah"

"Alah, ustaz dan ustazah lepasan Mesir kan ramai. Suruh mereka je ajarkan murid kita ni mengaji dan menulis jawi"

"Kami bukannya alim. Malulah nak solat berjemaah di surau"

Ini antara dialog akibat daripada gejala compartmentalization. Menjadikan muslim itu dipasarkan mengikut bidang pengajian di universiti. Kesannya nanti adalah kepada proses dakwah itu sendiri. Mahasiswa akan menjadi bidang pengajian mereka sebagai 'alasan kukuh' untuk tidak melakukan dakwah. Bukanlah yang dimaksudkan berdakwah di sini perlu dengan duduk di hadapan orang ramai menyampaikan ilmu semata-mata tetapi dakwah yang disampaikan dalam kaedah yang pelbagai.

Jurutera dengan kaedah kejuruteraannya
Doktor dengan kaedah perubatannya
Peguam dengan hujah dan faktanya

Maksudnya semua muslim itu boleh menjadi pendakwah dalam posisi masing-masing. Tidak mesti ustaz atau ustazah datang ke kilang atau tapak pembinaan untuk berkuliah agama atau turun ke setiap hospital untuk memberi tazkirah. Cukup hanya dengan individu muslim itu sendiri memainkan peranan dalam posisinya.

Cuma yang perlu diberi perhatian ialah persiapan untuk berdakwah itu sendiri. Bak kata pepatah arab "Orang Yang Tiada Apa-Apa tidak Dapat Memberikan Apa-Apa".

Dakwah itu adalah medan untuk kita menyampaikan ilmu Islam kepada sesama muslim. Persipkanlah diri dengan sedikit-sebanyak ilmu tentang tauhid, akidah, ibadah, fardu ain dan ulum Al-Quran serta hadis. Insyaallah kerjaya sebagai pendakwah boleh diisi pada bila-bila masa. Tetapi sebelum tu jangan lupa jernihkan fikrah sebelum berdakwah.

Hasilnya......

Ingat saudara, kita ini umat Nabi Muhammad SAW. Mulianya kita kerana Allah SWT beri kita kesempatan untuk menyambung tugas yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW. Dapat juga kita peluang untuk merasa pedih dan peritnya ketika Nabi kita berdakwah suatu ketika dulu.

BIASAKAN YANG BETUL dan BETULKAN YANG BIASA

Saturday, 22 August 2009

Ramadhan 1430 H

Pintu gerbang Ramadhan telah dibuka,
Sinarilah hari-harinya dengan sinaran Al-Quran,
Terangi malam-malamnya dengan butir-butir bintang doa dan ibadah,
Bakar pelita malamnya dengan kelazatan berzikir dang bertahajud kepadaNya,
Mudah-mudahan acuan perisai ketaqwaan jua yang akan kita raih sebagai ganjaran.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Ramadhan kareem...
Tarbiyyah Didahulukan,
Taqwallah Diutamakan.
------------------------------------------------------------------------------------------------
The beautiful Ramadhan is coming,
In my most noble honour 'please forgive anything in the past'.
May Allah give us the best Ramadhan ever. Amin.
------------------------------------------------------------------------------------------------
Tiada hari seindah JUMAAT,
Tiada kata seindah ZIKIR,
Tiada ibadah sindah SOLAT,
Tiada bulan seindah RAMADHAN.
------------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah. Masih dipanjang umur oleh Allah SWT untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini. Bulan yang pada awalnya RAHMAT, pertengahannya KEAMPUNAN dan penghujungnya KELEPASAN DARI API NERAKA. Merenung kembali terowong masa yang telah berlalu terasa sangat kerdil diri ini di sisi pencipta. Terlalu banyak dosa dan maksiat yang dilakukan namun tidak pernah sang pencipta mengurangkan nikmatnya pada diri.

Nikmat kesihatan terutamanya di kala wabak penyakit menyerang, nikmat masa lapang di kala orang lain dalam kesibukan dan yang paling utama nikmat kehidupan di kala kita melihat ada insan yang dipanggil pulang ke negeri abadi.

Sempena kedatangan bulan Ramadhan kali ini, bersama kita pasakkan semangat untuk berubah:
* daripada keburukan kepada kebaikan
* daripada seorang jahil kepada seorang yang alim
* daripada seorang muslim kepada seorang mukmin
* daripada seorang manusia biasa kepada seorang hamba yang taat setia

Mudah-mudahan kehadiran Ramadhan kali ini memberi satu momentum baru kepada diri agar menemui makna hamba dan hakikat kehidupan sebenar di dunia ini.

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

Tuesday, 18 August 2009

Jambori Amal Johor 2009

Alhamdulillah, setinggi puji dan syukur kepada Allah SWT tuhan yang Maha Menentukan. Dalam kesibukan berhadapan dengan tugas-tugas sebagai seorang pelajar, Allah memberi sedikit ruang dan peluang kepadaku untuk melakukan sedikit misi amal beberapa hari lalu.

Jambori Amal Negeri Johor 2009 telah berjaya dijalankan dengan jayanya pada 14-16 Ogos lalu di Sungai Sudah, Muar, Johor. Inilah kali pertama aku dapat ber'jambori' di peringkat negeri. Bagi yang tidak mengetahi apakah itu jambori, ia sebenarnya merupakan perhimpunan tahunan atau boleh juga disebut sebagai perkhemahan peringkat negeri. Penganjur jambori ini iaitu Yayasan Amal Malaysia cawangan negeri Johor telah berjaya menghimpunkan lebih kurang 200 orang peserta dari serata kawasan negeri Johor seperti Batu Pahat, Kulai, Kota Tinggi, Labis dan Simpang Renggam.


Keunikan jambori kali ini ialah pada aktiviti yang disusun sepanjang 3 hari 2 malam program berlangsung. Misi utama iaitu 'memasyarakatkan yayasan amal' telah membawa satu dimensi baru di mana setiap aktiviti yang dirancang akan melibatkan penyertaan peserta dengan masyarakat sekitar.

Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang jambori ialah program anak angkat, kembara amal, gotong-royong, derma darah dan pemeriksaan kesihatan, sukan air, sukan rakyat dan jamuan rakyat. Walaupun pada awalnya satu konsert amal yang menampilkan Renggo-bekas vokalis kumpulan Arrow, dicadangkan untuk diadakan ia terpaksa dibatalkan pada saat akhir atas beberapa masalah teknikal. Namun ia tidak melemahkan semangat peserta jambori untuk mengikuti aktiviti yang dirangka hingga ke hari terakhir.

Peserta jambori menunjukkan bakat mengendalikan kanu dan hasilnya....

Semua terbalik. Apa dah jadi bang oii..

Acara memasukkan paku ke dalam botol. Nampak mudah tetapi menduga kesabaran

Kaum ibu menunjukkan bakat menganyam ketupat

Gelagat adik-adik prasekolah dalam pertandingan mewarna

Sambutan yang menggalakkan masyarakat setempat dalam setiap aktiviti telah memberi satu petanda yang baik bahawa yayasan amal semakin diterima oleh masyarakat. Slogan "Beramal Kerana Allah" telah dihayati dengan sepenuhnya oleh para peserta. Walaupun tiada insentif berupa material yang diberi kepada setiap peserta atas segala sumbangan tenaga dan masa yang dicurahkan namun ia bukanlah alasan untuk peserta menunjukkan semangat yang tinggi untuk membantu sebaik mungkin bagi melancarkan perjalanan program.

Sungguh aku terharu melihat semangat semua peserta. Tidak kira yang muda atau yang sudah berumur, semua menunjukkan satu kesepaduan amal yang mantap yang mana jika diukur dengan kerja buat tersebut, Insyaallah aku melihat akan munculnya kembali sinar Islam di selatan tanah air ini. Tahniah kepada semua. Semoga kita bertemu pada Jambori Amal Peringkat Nasional akhir tahun nanti.


BERAMAL KERANA ALLAH
AMAL PRIHATIN


Create Fake Magazine Covers with your own picture at MagMyPic.com

Tazkirah : Al-Alaq (The Clot)


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ

96:1 Proclaim! (or read!) in the name of thy Lord and Cherisher, Who created-

خَلَقَ الْإِنسَانَ مِنْ عَلَق

96:2 Created man, out of a (mere) clot of congealed blood:

اقْرَأْ وَرَبُّكَ الْأَكْرَمُ

96:3 Proclaim! And thy Lord is Most Bountiful,-

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ

96:4 He Who taught (the use of) the pen,-

عَلَّمَ الْإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

96:5 Taught man that which he knew not.